Monday, December 29, 2008

Bursa Malaysia pulih suku pertama tahun depan

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Bursa Malaysia dijangka pulih pada suku pertama 2009 dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) didagangkan pada tahap antara 860 dan 1,000 atas keyakinan pelabur bahawa pakej rangsangan kerajaan berjumlah RM7 bilion akan memberi impak positif ke atas ekonomi.

Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pakej yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka meningkatkan keyakinan pelabur.

Beberapa penganalisis bagaimanapun berkata, pemulihan IKKL hanya akan berlaku pada akhir suku pertama tahun depan atau mungkin sehingga separuh kedua.

Seorang penganalisis berkata, syarikat itu tidak menjangkakan pemulihan mampan bagi kedua-dua ekuiti global dan IKKL.

"Ini hanya akan berlaku apabila pelabur dapat melihat sejauh mana serius serta tempoh kemelesetan selain penurunan pendapatan dan perkembangan lanjut dalam usaha menagani krisis kewangan global," katanya.

Beliau berkata, sejauh mana seriusnya kemelesetan global bergantung kepada setakat mana ia menjejaskan pelabur dan jumlah yang mereka terpaksa tanggung akibatnya.

"Konsensus semakin tidak boleh dipercayai lagi. Unjuran berubah dengan ketara. Ia tidak dapat menyakinkan pelabur.

"Oleh itu naik turun akan berterusan dan IKKL akan terus berada dalam keadaan tidak menentu," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata pasaran saham Asia dijangka menarik tahun depan dengan jangkaan bahawa ada sinar baru di sebalik kesuraman persekitaran kewangan global semasa.

Ketua Pegawai Pelaburan HwangDBS Investment Management Bhd., David Ng, berkata, walaupun wujud peluang untuk melabur dalam syarikat yang menawarkan pulangan munasabah, pelabur dijangka lebih memilih.

Beliau berkata, langkah-langkah monetari yang diambil oleh bank-bank pusat serta dasar fiskal kerajaan, telah membantu meningkatkan ekonomi global serta mengelak era kemelesetan pada 1930-an.

"Ini juga akan membantu meningkatkan sentimen di pasaran-pasaran saham," katanya.

Antara langkah yang diambil oleh bank-bank pusat tahun ini termasuk pengurangkan kadar faedah, suntikan dana atau pakej rangsangan fiskal, selain jaminan atas deposit tetap, katanya.

Beliau berkata, pasaran terjejas akibat kemelesetan dan nilai kini muncul semula.

Pasaran Asia, terutama di Hong Kong dan Singapura, akan mempunyai prospek yang paling menarik.

"Syarikat-syarikat Asia yang berkelas dunia dan mempunyai lembaran imbangan serta struktur pengurusan yang kukuh, akan menjadi perhatian utama pelabur," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd. Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, meskipun tahun ini sangat mencabar, prestasi bursa tempatan lebih baik berbanding bursa-bursa lain.

Yusli berkata, ini berikutan prestasi ekonomi Malaysia yang baik yang membolehkan syarikat berkembang dengan baik setakat ini.

Bagaimanapun, katanya impak penuh krisis global belum menjejaskan negara.

Beliau berkata, sehingga 18 Disember lalu, sebanyak 23 syarikat baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Antaranya ialah UEM Land Holdings Bhd., Fibon Bhd. dan Teo Seng Capital Bhd.," katanya.

Yusli berkata, operator bursa saham itu akan memperkenalkan inisiatif baru untuk tahun depan yang merupakan antara usaha menjadikan bursa tempatan lebih menarik.