Dividen tujuh peratus -- * Tertinggi sejak 2001 * Bayaran terbesar Tabung Haji
PUTRAJAYA 5 Feb. – Tabung Haji hari ini mengumumkan pemberian dividen sebanyak tujuh peratus kepada kira-kira 4.2 juta pendeposit aktifnya bagi tahun 2007, iaitu dividen yang tertinggi sejak tujuh tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kadar dividen itu meliputi lima peratus dividen tahunan dan dua peratus lagi dividen khas yang pertama kali diberikan kepada pendeposit Tabung Haji.
Menurutnya, kadar dividen tujuh peratus itu membabitkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion kepada pendeposit Tabung Haji iaitu pembayaran terbesar sejak penubuhan Tabung Haji pada 1963.
Katanya, pembayaran dividen itu akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit pada 10 Februari ini.
‘‘Sejak lima tahun lalu, Tabung Haji telah dapat memberikan dividen kepada para pendepositnya dengan kadar yang amat kompetitif dan munasabah berbanding pelaburan dalam sektor perbankan Islam,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar mengumumkan kadar dividen tersebut di sini.
No comments:
Post a Comment