Wednesday, December 19, 2007

Caj KWSP diturunkan untuk pelaburan Saham Amanah

KWSP : Caj Perkhidmatan Pelaburan Saham Amanah Dihadkan Kepada 3 Peratus

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menikmati penurunan 50 peratus caj perkhidmatan untuk pelaburan dalam saham amanah mulai 1 Januari 2008. KWSP mengumumkan bahawa caj perkhidmatan akan dihadkan kepada tiga peratus dan institusi pengurusan dana tidak boleh mengenakan caj perkhidmatan melebihi kadar itu.

Langkah berkenaan yang diluluskan oleh Menteri Kewangan akan membantu menjimatkan wang ahli. Caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pengurus dana pelaburan tempatan secara relatifnya lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Singapura, United Kingdom, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Ahli boleh mendapat pulangan yang lebih baik daripada pelaburan mereka dalam saham amanah dengan pengurangan caj perkhidmatan ini,” kata Datuk Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Tambah Datuk Azlan, “KWSP memutuskan untuk menghadkan caj perkhidmatan kepada 3 peratus untuk kepentingan ahli dan pengurus dana”.

Pada masa ini ahli dikenakan caj perkhidmatan antara lima dan enam peratus.

“Kajian yang dijalankan oleh KWSP baru-baru ini menunjukkan antara faktor utama yang memberikan kesan terhadap pulangan pelaburan ahli adalah caj perkhidmatan tinggi yang dikenakan oleh institusi pengurusan dana,” kata Datuk Azlan.

No comments: