Wednesday, December 19, 2007

Dividen ASB 2007

Utusan Malaysia - 19 December 2007

ASB: Pengagihan pendapatan, bonus 9 sen

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak lapan sen seunit dan satu sen seunit untuk bonus skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.
Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, jumlah pengagihan pendapatan dan bonus itu merupakan peningkatan sebanyak 0.45 sen seunit berbanding 8.55 sen seunit tahun lalu.

Menurut beliau, kadar pengagihan pendapatan itu meningkat sebanyak 0.70 sen seunit berbanding 7.30 sen seunit yang diagihkan pada tahun lalu.
Kadar bonus pada tahun ini ialah satu sen berbanding 1.25 sen seunit pada tahun sebelumnya, kata beliau.

Pengagihan pendapatan dan bonus tertinggi pernah diberikan oleh PNB ialah sebanyak 11.25 sen pada 2000, termasuk 9.75 sen bagi pendapatan manakala dua peratus untuk bonus.
Tambahnya, pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran RM4.290 bilion, peningkatan sebanyak RM798 juta atau 22.85 peratus berbanding RM3.492 bilion yang dibayar pada tahun lalu.

Beliau berkata, pembayaran bonus pula membabitkan peruntukan RM354.47 juta.
‘‘Seramai 6.35 juta pemegang unit yang melanggan 55.22 bilion unit ASB akan menerima manfaat daripada pengagihan pendapatan ini,’’ katanya di sini hari ini.
Katanya, sehingga 13 Disember lalu, ASB memperoleh pendapatan kasar RM5.130 bilion iaitu kenaikan sebanyak RM1.159 bilion atau 29.19 peratus berbanding RM3.971 juta pada tahun lalu.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang RM2.811 bilion atau 54.80 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Menurutnya, keuntungan daripada penjualan pelaburan menyumbang RM2.005 bilion atau 39.08 peratus, selebihnya RM314 juta atau 6.12 peratus diperoleh melalui pendapatan pelaburan instrumen jangka pendek.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan tahun kewangan 2007 manakala pengiraan bonus pula mengikut purata baki pegangan minimum bulanan untuk tempoh 10 tahun dari 1998 sehingga 2007.

Katanya, semua urus niaga ASB di seluruh negara ditangguhkan pada 21 Disember ini sehingga 1 Januari bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

No comments: